JOHOR BAKAL WUJUDKAN SEKRETARIAT KHAS FELDA

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir ke sesi libat urus bagi mewujudkan sekretariat khas berkaitan pembangunan FELDA, Johor. | Foto Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Johor bakal mewujudkan sekretariat khas di peringkat negeri untuk membincangkan dan menyelami hal ehwal pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini.
Usaha mewujudkan sekretariat yang telah bermula dengan langkah pertama ke arah penubuhan itu merupakan salah satu langkah proaktif Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Cadangan penubuhan sekretariat adalah untuk mendengar secara terus suara hati melibatkan permasalahan dan harapan lebih 180,000 warga FELDA di 73 tanah rancangan seluruh negeri ini.
Sekretariat itu dianggotai kepimpinan di setiap peringkat pengurusan FELDA termasuk wakil peneroka, generasi belia, wanita dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Merupakan platform penting kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan FELDA, sekretariat berkenaan ditubuhkan agar segala isu atau perkara berbangkit dapat ditangani dengan segera dan secara tuntas.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir ke sesi libat urus bagi mewujudkan sekretariat khas berkaitan pembangunan FELDA di negeri ini.
#FELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor