JOHOR BERSIH, SUKAN BANGSA JOHOR IMPLEMENTASI TERAS AGENDA MAJU JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menjayakan Program Johor Bersih ketika lawatannya di Pekan Nenas, Pontian / Sumber Facebook Onn Hafiz

 

ISKANDAR PUTERI — Dua program di bawah teras Agenda Maju Johor berlangsung serentak di seluruh Johor, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program Johor Bersih dan Sukan Bangsa Johor merupakan sebahagian daripada enam teras agenda tersebut yang dirangka mencakupi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Ini termasuk memberi keutamaan kepada Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta pembangunan Orang Muda Johor.

“InsyaAllah, kejayaan program-program ini bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa malah meningkatkan daya saing rakyat secara sihat, dan menyumbang kepada perkembangan sahsiah peribadi secara holistik,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya.

Sempena Program Johor Bersih, Onn Hafiz berpeluang turut serta dalam aktiviti menanam pokok dan ‘plogging’ Johor Bersih bersama penduduk setempat dalam lawatannya ke Pekan Nenas, Pontian.

“Kita harus ingat menjaga kebersihan bukan sahaja terletak di bahu kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi juga setiap seorang Bangsa Johor.

“Untuk makluman, program Johor Bersih juga telah dapat menanam 108,305 batang pokok di seluruh negeri bagi menyokong pengekalan kawasan litupan hijau sejak diperkenalkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua 56 Kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding dalam Sukan Bangsa Johor 2022.

“Pertandingan yang baru sahaja bermula akan menyaksikan 2,072 peserta dari 56 kawasan DUN bertarung dalam empat jenis sukan.

“Ini termasuk sepak takraw, bola jaring, futsal dan bola keranjang ‘3 on 3’. Selamat maju jaya kepada semua yang bertanding!,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor