JOHOR BUSINESS SUMMIT & EXPO 2025 HIMPUN USAHAWAN DARI 10 NEGARA

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir pada Majlis Pra-Pelancaran Johor Business Summit & Expo 2025 di Menara IIB, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Johor Business Summit & Expo (JBSE) 2025 bakal menjadi platform bertaraf antarabangsa yang akan menghimpunkan penyertaan delegasi dari 10 negara termasuk Indonesia, Singapura, China, Amerika Syarikat, Itali, Jerman, Kanada dan Kemboja.
Penganjuran expo berkenaan yang julung kali oleh Kerajaan Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dengan kerjasama Kotler Impact Asia serta sokongan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) ini akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
JBSE 2025 dijangka dapat menarik kehadiran 20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari penganjuran berkenaan yang turut menampilkan lebih 24 panel dari dalam dan luar negara melalui platform forum usahawan, klinik perniagaan, bengkel, aktiviti interaktif termasuk 90 ruang pameran yang berkonsepkan padanan perniagaan.
Selain itu, penganjuran JBSE 2025 kali ini juga akan mengetengahkan panel membabitkan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ); Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC); Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan kumpulan pelabur yang sudah melabur di Johor untuk berkongsi pengalaman bersama usahawan tempatan.
Dengan kedudukan strategik Johor berserta sokongan Kerajaan Negeri, JBSE 2025 diyakini akan dapat membantu memperkukuhkan kedudukan inisiatif JS-SEZ sebagai pusat perdagangan utama rantau ini, selain memberi impak ekonomi kepada usahawan tempatan selaras dengan Agenda Maju Johor 2030.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir pada Majlis Pra-Pelancaran Johor Business Summit & Expo 2025 di Menara IIB, Iskandar Puteri, hari ini.
#WTN
#JohorSafeZone
#AntiBuli
#UsahawanJohor
#JohorBusinessSummitExpo
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor