JOHOR CADANG LETAK FOREST CITY DI BAWAH ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA


Kerajaan Johor cadang meletakkan Forest City di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor bercadang untuk meletakkan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memperkukuh hubungan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

 

Lokasi Forest City yang strategik serta perancangan bersesuaian dengan naratif asal pembangunannya menjadi faktor ia dipilih sebagai lokasi pelaksanaan SFZ selain cadangan bagi meletakkanya di bawah zon ekonomi khas pula sudah dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri sebelum diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa JS-SEZ.

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga berhasrat mengembangkan industri kewangan di negeri ini menerusi penglibatan industri perbankan moden yang diyakini mampu membangunkan ekonomi baharu di kawasan SFZ selain memperkasa sektor kewangan bagi menjadi pelengkap kepada Singapura sebagai hab kewangan dan logistik antarabangsa.

 

Malah, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan, syarikat kewangan serta pengurus dana di dalam dan luar negara bagi mengenal pasti sektor-sektor yang akan dibangunkan di Forest City selain memperkukuh perkara asas seperti tenaga kerja berkemahiran dan aspek kesalinghubungan.

 

Sejak Kerajaan Persekutuan mengumumkan penubuhan SFZ pada Ogos 2023, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah bagi membangunkan sektor khas yang unik serta memperkenalkan insentif dan produk bersesuaian untuk ditawarkan kepada syarikat-syarikat kewangan antarabangsa.

 

Justeru, Kerajaan Johor turut menjangkakan perincian mengenai pakej insentif khusus untuk zon kewangan khas berkenaan akan diumumkan pada hujung Ogos sebelum perjanjian JS-SEZ dimuktamadkan oleh Malaysia dan Singapura.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor