JOHOR CATAT JUMLAH PROGRAM, PENSIJILAN DI BAWAH JPK MEMBERANGSANGKAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama warga kerja JPK Wilayah Selatan diketuai pengarahnya, Mohammad Musa Ahmad. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 537 program Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) ditawarkan membabitkan 166 pusat bertauliah, setakat April lalu.

 

Manakala 632 program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) pula telah ditawarkan daripada 262 pusat bertauliah setakat tempoh yang sama.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, SLaPB dan SLDN merupakan antara produk di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

 

Menurutnya, program berkenaan memberikan latihan dalam dua situasi pembelajaran iaitu tempat kerja sebenar dan institut latihan.

 

“Dalam pada itu, sehingga April 2023 juga, JPK Wilayah Selatan sudah mengeluarkan sebanyak 2,397 persijilan untuk SLaPB, 661 persijilan untuk SLDN dan 325 lagi persijilan menerusi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

 

“Jika dibandingkan dengan dua lagi negeri dalam Wilayah Selatan iaitu Negeri Sembilan dan Melaka, Johor dilihat mencatatkan angka tertinggi untuk jumlah program serta persijilan dan sebagai EXCO Sumber Manusia Negeri Johor, saya melihat ia suatu perkembangan yang baik,” kata beliau menerusi Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama warga kerja JPK Wilayah Selatan diketuai pengarahnya, Mohammad Musa Ahmad.

 

Mohd Hairi memberitahu akan terus meninjau dan mengadakan lawatan ke pusat-pusat latihan bertauliah di bawah JPK Wilayah Selatan bagi melihat sendiri peserta menjalani latihan kemahiran.

 

Selesai mengunjungi JPK Wilayah Selatan, beliau telah bertemu dengan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor yang baharu, Mohd Azmi Muhammud.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor