RUJUK JKM, PASTIKAN TASKA BERLESEN : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail meninjau dua TASKA di Iskandar Puteri yang dikenalpasti tidak mempunyai dokumen lengkap, baru-baru ini. | Foto Ihsan, FB Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menghantar anak masing-masing ke taman asuhan kanak-kanak (TASKA).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, langkah berkenaan bagi memeriksa sama ada sesebuah TASKA itu berlesen atau tidak.

 

“Tidak lupa juga bagi memeriksa TASKA atau premis tersebut dari segi keselamatan dan kebersihannya bagi memastikan bahawa kanak-kanak tersebut membesar di tempat yang kondusif dan selamat,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, beliau bersama JKM Negeri Johor mengadakan tinjauan ke atas dua TASKA di Iskandar Puteri yang dikenalpasti tidak mempunyai dokumen lengkap, atau lesen untuk menjalankan operasi.

 

Khairin-Nisa berkata, terdapat juga TASKA didapati menggunakan khidmat warga asing tanpa permit bekerja selain tidak selamat dan bersih untuk tumbesaran kanak-kanak.

 

Ujarnya, arahan untuk menutup operasi TASKA tersebut telah dikeluarkan serta merta bagi memastikan mereka tidak beroperasi tanpa lesen.

 

“Pihak TASKA tersebut turut dinasihatkan bagi memastikan dokumen pendaftaran atau perlesenan lengkap sekiranya ingin menjalankan perusahaan TASKA.

 

“Kerajaan Negeri akan terus bertegas kepada mana-mana TASKA yang tidak mematuhi peraturan bagi menjaga keselamatan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.

 

Beliau turut mengulangi peringatan kepada pengusaha TASKA agar melengkapkan dokumen bagi menjalankan operasi serta sentiasa memberi kerjasama kepada JKM Negeri Johor dan agensi berkaitan.

 

“Sekiranya didapati bersalah menjalankan TASKA tanpa lesen, boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor