JOHOR CIPTA REKOD MBOR PELEPASAN BENIH UDANG GALAH TERBANYAK

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Program Pelepasan Benih Udang Galah Serentak Seluruh Johor Tahun 2025 di Sungai Muar, Jambatan Putus, Segamat. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Segamat – Jabatan Perikanan Negeri Johor berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak di Malaysia’ selepas melepaskan 1.6 juta benih udang galah jenis ‘Macrobrachium rosenbergii’ secara serentak di seluruh negeri ini.
Inisiatif strategik bagi memperkukuh usaha pemuliharaan sumber perikanan air tawar itu dilaksanakan di Segamat, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi melibatkan lima lembangan sungai utama menempatkan komuniti nelayan darat berdaftar iaitu Sungai Muar, Sungai Ulu Benut, Sungai Sembrong, Sungai Telor dan Sungai Lenggor.
Pelaksanaan program mencerminkan komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri dalam memastikan udang galah di Johor terus dipulihara dan mampu menjadi sumber ekonomi mampan kepada komuniti luar bandar serta menyokong aspirasi untuk muncul sebagai antara negeri peneraju sektor agromakanan air tawar di Malaysia.
Pelepasan benih udang galah itu juga menterjemah usaha berterusan memelihara kelestarian sumber asli dan kesejahteraan komuniti nelayan darat di samping meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan kawalan terhadap pelepasan ikan asing yang boleh menjejaskan ekosistem semula jadi.
Usaha pemuliharaan sumber perikanan darat turut diperkasakan menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM650,000 merangkumi RM600,000 daripada Kerajaan Negeri dan RM50,000 oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelepasan tiga juta benih udang galah dan 202,000 benih ikan di lapan lokasi terpilih seluruh negeri ini.
Sektor perikanan darat Johor terus mencatat pertumbuhan positif apabila meningkat sebanyak 1,400.33 tan metrik hasil air tawar bernilai RM18.77 juta direkodkan pada tahun 2024 berbanding 1,184 tan metrik bernilai RM16.78 juta untuk tahun sebelumnya.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Program Pelepasan Benih Udang Galah Serentak Seluruh Johor Tahun 2025 di Sungai Muar, Jambatan Putus, Segamat, hari ini.
Turut hadir, YBrs. Puan Yeo Moi Eim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perikanan Malaysia; YBrs. Puan Rosmawati Ghazali, Pengarah Perikanan Negeri Johor dan YBrs. Cik Siti Nurhanim Mohd Noh, Pegawai MBOR.
#JohorSafeZone
#UdangGalahJohor
#PerikananJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor