JOHOR ISYTIHAR CUTI GANTI JIKA AWAL RAMADAN PADA 23 MAC


Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengisytiharkan hari Ahad bersamaan 26 Mac 2023 sebagai Hari Kelepasan Am sekiranya Awal Ramadan jatuh pada Khamis, 23 Mac ini.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, gantian cuti bagi Hari Kelepasan Am itu selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

 

Gantian cuti tersebut berikutan pada tarikh 23 Mac, ia merupakan Hari Kelepasan Am bagi Negeri Johor sempena Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

 

“Adalah dimaklumkan bahawa pada 23 Mac 2023 (Khamis) adalah merupakan Hari Kelepasan Am bagi negeri Johor sempena Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

 

“Dan sekiranya Awal Ramadan yang juga merupakan Hari Kelepasan Am bagi Negeri Johor, jatuh pada tarikh yang sama, Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju mengisytiharkan tarikh 26 Mac 2023 (Ahad) sebagai Hari Kelepasan Am selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor