JOHOR JUARA KESELURUHAN KEJOHANAN KRIKET MSSM 2025

Pasukan Kriket Johor muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Kriket MSSM 2025 di Terengganu. | Foto Johor Cricket

 

#IskandarPuteri – Pasukan Kriket Johor melakar kejayaan apabila muncul Juara Keseluruhan bagi Kejohanan Kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 19 September di Padang Awam Guntong, Terengganu.

 

Kejayaan Pasukan Kriket Johor menyaksikan mereka mendominasi acara Bawah 18 Tahun (B18) selaku juara, manakala skuad Bawah 12 Tahun (B12) pula menamatkan saingan di tempat ketiga.

 

Pelengkap kepada aksi cemerlang Pasukan Kriket Johor B18 ini diteruskan apabila dua pemainnya iaitu Mohd Amirul Firdaus Safiee, 17, dinobatkan sebagai Pembaling Terbaik, manakala Amzar Iqbal Md Alwi, 17, menerima pengiktirafan sebagai Penjaga Wicket Terbaik, sekali gus menyaksikan dominasi Johor di kejohanan tersebut.

 

Terdahulu pada perlawanan akhir bertemu Melaka B18, Pasukan Kriket Johor B18 tampil penuh yakin apabila memenangi undian dan memaksa pihak lawan untuk memukul terlebih dahulu. ‘Tuah’ itu kemudiannya diteruskan dengan aksi cemerlang barisan pembaling Johor yang berjaya mengehadkan lawan hanya berjaya membuat 103 larian.

 

Tanpa menoleh ke belakang, gandingan pemukul Johor akhirnya berjaya mencapai sasaran 104 larian dalam 16.4 overs, hanya kehilangan tiga wicket untuk mengesahkan kejuaraan.

 

Sementara itu, Pasukan Kriket Johor B12 turut menghadiahkan kejayaan berharga apabila menewaskan Perak dalam penentuan tempat ketiga dengan mengumpul 84 larian semasa sesi memukul, sekali gus mengesahkan kedudukan tempat ketiga.

 

Pencapaian ini lebih manis apabila Johor berjaya memperbaharui kejayaan di pentas MSSM kali ini berbanding edisi tahun 2024 yang hanya menyaksikan Pasukan Kriket Johor B18 menamatkan kejohanan di tempat ketiga, manakala Pasukan Kriket Johor B12 hanya sekadar berpuas hati di tempat kelima dengan kedudukan keseluruhan di tempat keempat.

 

#JohorSafeZone
#MSSM
#KriketJohor
#JohanKeseluruhan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor