JOHOR JUARA KRIKET LELAKI B-19 ANTARA NEGERI MCA 2025

Johor juara Kejohanan Kriket Lelaki Bawah 19 Tahun (B-19) Antara Negeri Persatuan Kriket Malaysia (MCA) 2025 setelah menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir. | Foto Persatuan Kriket Johor (JCA) 

IskandarPuteri – Johor dinobatkan sebagai juara Kejohanan Kriket Lelaki Bawah 19 Tahun (B-19) Antara Negeri Persatuan Kriket Malaysia (MCA) 2025 selepas menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir.

 

Dalam aksi berkenaan, Johor bermula dengan ‘batting’ berjaya mengumpul 204 larian sebelum mempamerkan aksi ‘bowling’ dan ‘fielding’ yang berdisiplin untuk mengehadkan lawan kepada 134 larian sekali gus meraih kemenangan dengan kelebihan 70 larian.

 

Kejayaan membanggakan dan telah lama dinantikan oleh seluruh warga kriket Johor ini mencerminkan kemajuan usaha pembangunan yang tersusun selain pengukuhan persediaan berprestasi tinggi melibatkan bakat muda.

 

Susulan kejayaan berkenaan, Persatuan Kriket Johor (JCA) merakamkan tahniah kepada semua pemain atas komitmen sepanjang kejohanan dan peranan jurulatih serta pengurusan pasukan dalam membimbing skuad tersebut.

 

JCA turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) atas sokongan berterusan diberikan serta semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian ini.

 

Johor kekal komited memastikan lebih ramai pemain yang mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi dan mewakili negara dengan melahirkan bakat muda kriket melalui pengukuhan pembangunan serta pendedahan pertandingan yang kompetitif.

 

#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#KriketMCAB19
#KriketJohor
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor