JOHOR LAKAR SEJARAH ANJUR KEJOHANAN BERBASIKAL KEBANGSAAN 2025

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir ke sidang akhbar bagi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek dan Lebuhraya 2025 di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Buat julung kalinya acara berbasikal terbesar di Malaysia, Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek dan Lebuhraya 2025 akan dilangsungkan di Velodrom Johor, Iskandar Puteri dan daerah Muar bermula 21 Mei ini.
Kejohanan peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Berbasikal Negeri Johor (PBNJ) bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bakal menghimpunkan seramai 300 atlet melibatkan 14 pasukan negeri, tiga pasukan bertaraf benua dan satu pasukan jemputan antarabangsa dari Indonesia.
Sebanyak 11 acara trek dan tiga acara di lebuhraya yang akan dipertandingkan pada kejohanan kali ini, menyaksikan kem Johor sebagai tuan rumah bakal mengetengahkan lebih 50 atlet daripada pelbagai program pembangunan termasuk Pusat Latihan Daerah dan Negeri.
Kejohanan berprestij ini menjadikan Negeri Johor sebagai satu-satunya tuan rumah yang menganjurkan dua kejohanan kebangsaan secara serentak dan ia turut dimeriahkan dengan kehadiran jaguh berbasikal trek negara yang juga Ikon Sukan Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Selain menjadikan Negeri Johor sebagai lokasi tumpuan penganjuran sukan strategik, kejohanan ini secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 melalui pendekatan ‘sport-tourism’.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir ke sidang akhbar bagi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek dan Lebuhraya 2025 di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour.
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor