JOHOR MAMPU JADI HAB PERTUMBUHAN EKONOMI BAHARU


Penasihat Ekonomi Negeri Johor, Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkata, bagi merealisasikan perkara berkenaan, Johor bagaimanapun perlu juga mengikut keperluan pasaran, perubahan dan tuntutan semasa. | Foto MDJ: Saufi Razale.

 

JOHOR BAHRU — Johor diyakini mampu menjadi hab pertumbuhan ekonomi baharu negara berdasarkan dasar dan hala tuju Kerajaan Negeri yang jelas untuk difahami pelabur serta masyarakat.

 

Penasihat Ekonomi Negeri Johor, Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkata, bagi merealisasikan perkara berkenaan, Johor bagaimanapun perlu juga mengikut keperluan pasaran, perubahan dan tuntutan semasa.

 

“Kemampanan adalah masa depan. Maka, Johor harus bersedia untuk menerima kemasukan kepakaran, teknologi dan menjalin lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak. Tujuan menjadikan Johor sebagai pencetus dan penyumbang utama kepada pembangunan tenaga boleh baharu sebagai contoh.

 

“Menjalankan peranan dengan jayanya bila Johor ini dilihat sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya ketika bertemu Media Digital Johor selepas Diskusi Pelaburan Industri Negeri Johor : ‘Ease of Doing Business in Johor’ di Ekspo Hartanah Johor 2023.

 

Hasni berkata, Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura berperanan signifikan menghubungkan Johor dengan pelabur asing yang berada di Singapura.

 

Ujar beliau yang juga Pengerusi JETCO, langkah itu kerana Johor menerima hakikat banyak syarikat multinasional antarabangsa berada di negara jiran.

 

“Bila kita berada di sana (Singapura) memberikan kita peluang untuk berinteraksi, mengikuti perkembangan dari segi ‘mood’ dan juga iklim pelaburan daripada negara-negara berkenaan. Sebab itu saya yakin kalau Johor jelas tentang hala tuju ini bererti bahawa kita tahu apa yang kita hendak.

 

“Maka tugas JETCO mencari keperluan Johor di luar supaya kita dapat bawa pembangunan yang kita harapkan. Pembangunan yang dapat menjana pendapatan yang tinggi, membawa teknologi, dan membantu Johor mencapai matlamatnya,” katanya.

 

Mengenai Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Hasni berkata, mod pengangkutan yang dapat menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor itu tidak boleh berdiri dengan sendirinya.

 

“Sistem ini harus berganding dengan mod pengangkutan lain seperti ‘feeder bus’. Mungkin kita juga patut bangunkan Tranit Aliran Ringan (LRT) untuk membolehkan mereka di luar bandar raya Johor Bahru juga mendapat faedah dengan adanya sistem pengangkutan lebih moden.

 

“Jadi, ia tidak terhenti setakat RTS sahaja. Banyak sistem-sistem pengangkutan yang sedang dibangunkan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor