KERAJAAN NEGERI SERIUS PASTIKAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN SELARI PERSEKUTUAN


Menter Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau menyeru jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat tersebut. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor serius dalam memastikan perancangan pembangunan di negeri ini, selari dengan dasar dan hala tuju di peringkat persekutuan.

 

Menter Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau menyeru jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

 

“Semoga segala yang dirancang mampu diterjemahkan mengikut jadual, agar segala limpahan daripada pembangunan ini dapat dirasai seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Terdahulu, Menteri Besar hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pengarah PLANMalaysia@Johor, TPr. Saidin Lateh.

 

Onn Hafiz berkata, pelbagai aspek disentuh dalam mesyuarat berkenaan antaranya pembangunan di setiap daerah, pembinaan kawasan perindustrian lebih berpusat, naik taraf jaringan kereta api dan jalan raya, rumah mampu milik serta taman-taman negara Johor.

 

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan atas penganjuran Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 pada Jun lalu.

 

“Tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Pengarah PLANMalaysia Johor, TPr. Saidin Lateh; serta semua PBT Negeri Johor atas kejayaan penganjuran program JSCF pada Jun lalu.

 

“Saya difahamkan seramai 10,007 orang telah hadir dengan penyertaan seramai 75 pempamer, 81 ahli panel, 21 moderator dan 26 sesi forum. Ianya satu petanda positif dalam memberikan pendedahan kepada orang awam tentang kesediaan Johor untuk beralih kepada Bandar Pintar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor