JOHOR PERCEPAT PENYELESAIAN PROJEK PERSEKUTUAN YANG TERTANGGUH

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi meneliti isu berkenaan serta menetapkan tindakan susulan sehingga projek dapat diselesaikan. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus berusaha untuk mempercepat serta menyelesaikan projek Kerajaan Persekutuan yang masih tertangguh bagi memastikan setiap kemudahan yang diluluskan dapat dimanfaatkan rakyat secara keseluruhan.
Antara projek yang diberi perhatian utama termasuk Program Residensi Rakyat (PRR) Larkin, Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Pengerang dan Rumah Malaysia (RSMA) Sembrong.
Turut diberi perhatian ialah kerja menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang serta Larkin, Gelanggang Futsal Pangsapuri Kurnia, Larkin dan pengurusan sisa pepejal di Muar, Mersing serta Pekan Nenas, Pontian.
Selain itu, antara isu dikenal pasti melibatkan permit, utiliti air dan elektrik, tanah, laluan masuk, infrastruktur serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Sebahagian projek berkenaan juga didapati sudah mencapai tahap kemajuan tinggi tetapi masih memerlukan tindakan lanjut terutama membabitkan aspek teknikal dan pentadbiran, sebelum ia dapat disiapkan sepenuhnya.
Justeru, semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Koridor Utiliti Johor (KUJ), Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah serta jabatan teknikal diminta supaya menyelaras segala tindakan yang perlu dilaksanakan serta menetapkan tempoh penyelesaian projek berkenaan.
Pendekatan ini selaras dengan penegasan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor supaya projek yang diluluskan ini akan benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang dapat dimanfaatkan rakyat secara langsung atau tidak langsung.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi meneliti isu berkenaan serta menetapkan tindakan susulan sehingga projek dapat diselesaikan.
#JohorSafeZone
#Perumahan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


