JOHOR PERTAMA GUNA APLIKASI eCOSS MINYAK MASAK SUBSIDI

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor semasa pelancaran aplikasi eCOSS di Pasaraya Maslee B5. | Foto FB KPDN Johor

 

#IskandarPuteri – Johor menjadi negeri pertama memulakan penjualan minyak masak paket bersubsidi yang direkod menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di 29 lokasi Point of Sales (PoS) di bawah fasa kedua Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi.

 

Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor itu menandakan peluasan penggunaan eCOSS yang sebelum ini diperkenalkan di peringkat Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kini akan melibatkan pasar raya sebagai PoS dalam agihan minyak masak bersubsidi.

 

Sistem eCOSS merekodkan setiap transaksi jualan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram bermula daripada pengilang, pembungkus, pemborong, peruncit sehingga pembelian oleh pengguna yang bertujuan memperkukuh pemantauan rantaian bekalan barangan berkenaan di semua peringkat.

 

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, KPDN Johor juga menempatkan pegawai di kaunter jualan di semua 29 pasar raya terlibat selama lima hari bermula 11 hingga 15 Ogos 2025 yang akan membantu proses pendaftaran, penggunaan aplikasi eCOSS dan melaksanakan sesi Training of Trainers (ToT) kepada pengguna serta pihak pasar raya.

 

Fasa kedua itu memperluas lokasi PoS daripada 17 bagi fasa pertama kepada 29 lokasi di seluruh negeri, dengan bekalan minyak masak bersubsidi dibekalkan secara berkala oleh 19 syarikat pembungkus dan pemborong sah untuk memastikan ketersediaan serta capaian berterusan khusus untuk kegunaan isi rumah B40.

 

Sementara itu, langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Taskforce Khas Kos Sara Hidup menjadi strategi serampang dua mata dan inisiatif holistik bagi mengurangkan beban rakyat menerusi peluasan Jualan Kasih Johor serta PJRM selain turut meningkatkan pendapatan pengusaha serta petani.

 

#MinyakMasakBersubsidi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor