JOHOR SALUR BANTUAN KEPADA 62 KIR TERJEJAS GEMPA BUMI LEMAH

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan mengenai kejadian gempa bumi lemah di Johor pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan bantuan kepada 62 Ketua Isi Rumah (KIR) yang kediamannya terjejas susulan gegaran akibat gempa bumi lemah di Segamat dengan kejadian pertama pada 24 Ogos lalu.
Bantuan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada kadar maksimum RM3,000 bagi setiap keluarga itu disalurkan kepada KIR yang terlibat dan telah membuat laporan polis.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, sebanyak 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil setakat ini, namun disahkan masih selamat untuk digunakan hasil penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, fasiliti penting milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ dan Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) turut diperiksa serta didapati kesemua sistem mahupun kemudahan asas berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah komited malah sudah melaksanakan pelbagai tindakan serta langkah intervensi secara berfasa yang merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang susulan kejadian berkenaan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan berkaitan kejadian gempa bumi lemah di Johor pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Dewan Persidangan, Aras 2, Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.
#JohorSafeZone
#GempaBumiLemah
#Insentif
#NADMA
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor