JOHOR SEDIA JADI HAB PUSAT DATA SERANTAU


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan Fasiliti PDG JH1 di STeP 1, Kulai. | Foto Ihsan Majlis Perbandaran Kulai

 

Pengoperasian fasiliti penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka di Asia, Princeton Digital Group (PDG) di Taman Teknologi Sedenak (STeP 1) memacu Johor berada di landasan yang tepat sebagai hab pusat data terbesar di Asia Tenggara.

 

Pembukaan fasiliti fasa pertama pusat data hiperskala 150 megawatt (MW) melibatkan pelaburan bernilai RM2 bilion itu dijangka menyediakan 500 peluang pekerjaan di mana 70 peratus daripadanya untuk rakyat Johor.

 

Pusat data dikenali JH1 oleh PDG itu memberi isyarat bahawa industri pusat data Negeri Johor kini sedang berkembang pesat menerusi inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang merupakan usaha Kerajaan Negeri menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

 

Inisiatif diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) itu telah berjaya menarik keseluruhan lebih 50 pusat data di STeP 1 dengan kapasiti lebih 1 gigawatt hanya dalam tempoh dua tahun sahaja.

 

Pencapaian signifikan tersebut melonjakkan semangat dan komitmen Kerajaan Negeri melalui Invest Johor menarik pelaburan bagi mewujudkan Pusat Data Johor seterusnya menyelaras usaha pembangunan bakat, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan Fasiliti PDG JH1 di STeP 1, Kulai. Turut hadir, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

Hadir sama, YBhg Asher Ling, Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Urusan PDG Singapura; YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi JLand Group (JLG); YBhg. Fizwan Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai dan YBhg. Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor