JOHOR SEDIA TERAJUI EKSPORT PERTANIAN NEGARA, TEROKA PASARAN DUNIA

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara IPM 2.0 di Dewan Pusat Pertanian Ayer Hitam. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kluang – Kerajaan Johor akan terus memperkasa sektor pertanian negeri dengan memberi fokus kepada perluasan pasaran eksport menerusi pelaksanaan Program Kembara Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) 2.0 terutama berkaitan aspek pematuhan protokol ladang dan standard antarabangsa.

 

Sebagai negeri yang memiliki keluasan kawasan tanaman mencecah 47,496 hektar dengan nilai pengeluaran sebanyak RM5.46 juta, Johor berpotensi besar untuk memperluaskan lagi pasaran produk pertanian negeri ke peringkat global khususnya ke negara-negara seperti China dan Australia yang menetapkan protokol piawaian ketat bagi kemasukan produk pertanian.

 

Melibatkan penyertaan lapan pengeksport utama dan 80 petani berpotensi, program Kembara IPM 2.0 merupakan usaha bersepadu Kerajaan Negeri yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pertanian Negeri Johor dalam memastikan golongan petani menerima pendedahan menyeluruh mengenai kepentingan amalan ladang terbaik dan pengurusan perosak bersepadu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Pendekatan ini juga selari dengan agenda Maju Johor untuk membangunkan sektor pertanian yang lebih moden, mampan dan berdaya saing, sejajar dengan hala tuju negeri untuk menerajui sektor keterjaminan makanan dan ekonomi agromakanan berorientasikan eksport.

 

Bagi tujuan itu juga, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM300,000 khusus untuk memperkasa pelaksanaan IPM yang akan menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada kumpulan petani bagi mengamalkan pengurusan perosak tanaman secara lestari selaras dengan prinsip pertanian mampan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Penganjuran program IPM 2.0 ini turut dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha meningkatkan nilai tambah sektor pertanian negeri sebelum ini yang telah mencatat jumlah jualan mencecah RM27.2 bilion, sekali gus mengekalkan Johor sebagai penyumbang terbesar kepada industri pertanian negara.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara IPM 2.0 di Dewan Pusat Pertanian Ayer Hitam, hari ini.

 

Turut hadir, YBhg Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang; YBrs Encik Sharipuddin Mohd Halidi, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia dan YBrs. Tuan Haji Yosri Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor.

 

#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor