JOHOR TERAJUI AGENDA ‘SPORT NATION’ MENJELANG 2030

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat hadir merasmikan dan menyampaikan titah Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto Jabatan Penerangan Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Pembangunan dan pencapaian sukan di Johor kini memasuki fasa baharu yang lebih progresif dan menyeluruh, sekali gus mencerminkan komitmen negeri ini untuk muncul sebagai peneraju utama dalam landskap sukan negara pada masa akan datang.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mahu melihat Johor menerajui agenda ‘Sport Nation’ menjelang 2030 dengan menyeru kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, institusi pendidikan, persatuan sukan dan sektor korporat untuk bersama-sama berganding bahu membentuk sebuah ekosistem sukan yang inklusif, moden dan bertaraf antarabangsa.

 

Baginda Pemangku Sultan bertitah, selain itu pelantikan tokoh sukan bertaraf dunia seperti jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dan legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams sebagai Duta Sukan Johor adalah antara langkah strategik dalam usaha melonjakkan nama Johor ke peringkat antarabangsa.

 

Pelantikan nama-nama besar itu sebagai Duta Sukan Johor juga bukan sahaja mampu memacu pembangunan sukan tempatan tetapi juga bakal menjadi contoh dan teladan kepada generasi muda negeri ini untuk menceburi bidang sukan secara lebih serius.

 

Selain itu, Johor juga kini sedang giat membina pelbagai kemudahan sukan bertaraf dunia serta memberi tumpuan kepada usaha bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti tinggi dan memperkukuh industri sukan agar dapat menyumbang secara signifikan kepada negeri dan negara.

 

Pemangku Sultan juga bertitah mengiktiraf kejayaan dicapai oleh negeri ini dalam bidang sukan seperti bola sepak, bola jaring, permotoran, ragbi dan pelbagai lagi jenis sukan lain telah membuka lembaran baharu pembangunan serta pencapaian sukan di Johor secara menyeluruh.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat hadir merasmikan dan menyampaikan titah Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#WTN
#DewanNegeriJohor15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor