JOHOR TERIMA 9.14 JUTA PELANCONG


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), baru-baru ini / Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Negeri Johor telah menerima kedatangan seramai 9.14 juta pelancong sejak April 2022 sekali gus menunjukkan sektor pelancongan di Negeri ini kembali rancak selepas ‘lumpuh’ seketika akibat pandemik Covid-19.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia secara tidak langsung menjadi jumlah kehadiran pelancong tertinggi berbanding negara Asean yang lain.

 

“Cabaran pandemik COVID-19 hampir melumpuhkan sektor pelancongan. Namun, hari ini syukur alhamdulillah, Johor kembali rancak sebagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya pada Majlis Pembukaan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), baru-baru ini.

 

Menteri Besar Johor berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM18.3 juta selain pelbagai inisiatif dan penganjuran telah dilaksanakan bagi merancakkan sektor terbabit.

 

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan seperti penambahbaikan infrastruktur pelancongan, penganjuran acara pelancongan, insentif tunai RM1,000 kepada pemandu pelancong serta pengecualian duti hiburan kepada pengusaha taman tema.

 

“Saya juga bersyukur dengan penganjuran Majestic Johor Festival 2022, yang telah menarik lebih 650,000 pengunjung, dan dianugerahkan sebagai acara pelancongan negeri paling menarik,” katanya.

 

Dalam majlis tersebut, sebanyak 32 syarikat penerbangan, taman tema, hotel dan pusat peranginan serta agensi-agensi pelancongan telah menyertai MATTA Fair 2023.

 

Onn Hafiz berkata, pihaknya berharap agar usaha ini dapat memberi perkembangan positif kepada sektor pelancongan Negeri Johor untuk tahun 2023.

 

“Semoga kerjasama erat antara Tourism Johor bersama agensi-agensi terlibat akan menjadikan negeri Johor sebagai negeri utama destinasi pelancong di Malaysia kelak,” Katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor