MB BERI TUMPUAN SITUASI BATU PAHAT, CHAAH


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika mengetuai mesyuarat khas bersama agensi-agensi berkaitan di Bilik Gerakan Bencana Johor. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, mempengerusikan mesyuarat khas bersama agensi berkaitan di Bilik Gerakan Bencana Johor, Johor Bahru.

 

Menurut beliau, mesyuarat khas tersebut bagi membincangkan situasi terkini banjir di Johor, khususnya keadaan di daerah Batu Pahat dan kawasan Chaah, daerah Segamat.

 

“Sehingga hari ini, hampir 38,000 mangsa masih ditempatkan di 112 PPS seluruh Batu Pahat. Langkah berjaga-jaga perlu diambil memandangkan limpahan air daripada Segamat masih berlaku, menyebabkan banjir di Batu Pahat, ditambah pula dengan fenomena air pasang.

 

“Saya telah meminta Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali dengan kerjasama semua agensi memastikan penyelarasan dari segi pembahagian makanan, pengerahan aset-aset termasuk pam-pam air dibuat dengan baik.

 

“Saya difahamkan terdapat lima pam air telah berada di Batu Pahat, dan 18 pam daripada pelbagai negeri lain seperti Perak, Pahang, Melaka dan Perlis akan turut tiba esok,” katanya.

 

Selain itu, Menteri Besar Johor juga berkongsi situasi di Chaah di mana pada ketika ini sedang giat dilakukan kerja pembersihan pasca banjir.

 

Ujar beliau, penyelarasan kutipan sampah serta aset sudah diatur menggunakan 34 lori sampah daripada SWCorp dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.

 

“Isu longgokan sampah di Chaah dapat diselesaikan secepat yang mungkin dengan kerjasama semua pihak berkaitan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar akan turun ke Batu Pahat dan Chaah bagi meninjau situasi banjir supaya penyelarasan yang dibuat berjalan lancar. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

“Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar akan turun ke Batu Pahat dan Chaah bagi meninjau situasi banjir supaya penyelarasan yang dibuat berjalan lancar,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor