JOHOR TERIMA BANTUAN KEMANUSIAAN TIGA NEGERI
ISKANDAR PUTERI — Tiga negeri menzahirkan sokongan terhadap Kerajaan Johor dengan menghantar bantuan kemanusiaan susulan bencana banjir melanda negeri ini.
Kerajaan Pahang pimpinan Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang sebelum ini telah melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin Ke Johor.
Untuk misi bantuan itu, Kerajaan Pahang memperuntukkan pelbagai bentuk barangan bernilai RM70,535.
Ia merangkumi toto, tikar, kit kesihatan, lampin kanak-kanak dan air mineral termasuk juga anggota sukarelawan.
Semalam, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Terengganu turut menzahirkan komitmen menghulurkan bantuan ke negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan negeri tersebut menghantar bantuan untuk mangsa banjir Johor.
Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang itu meliputi penghantaran barang keperluan asas seperti makanan dan kita kebersihan.
Sementara itu, Kerajaan Terengganu pula menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM200,000 kepada mangsa banjir di Johor.
Bantuan berupa kelengkapan diri, air mineral, tilam serta lain-lain akan dihantar ke Johor, hari ini.
Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu turut menggerakkan 400 sukarelawan ke Johor.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor