JOHOR TERIMA HAMPIR RM710 JUTA BAGI LAKSANA PROJEK BERKAITAN INFRASTRUKTUR

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Belanjawan MADANI 2026 selaras dengan RMK-13 turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di Johor. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2026 yang disifatkan telah mendengar serta mengambil kira beberapa permohonan, pandangan, keperluan dan kehendak yang sudah dikemukakan sebelum ini.

 

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor memberitahu, Belanjawan MADANI 2026 yang dirangka selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK 13) turut memberi perhatian dalam usaha infrastruktur di negeri ini.

 

Menerusi pembentangan belanjawan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, kira-kira RM710 juta diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur di negeri ini termasuk peruntukan berjumlah RM325 juta bagi menaik taraf jalan Parit Panjang, Pekan Ayer Baloi ke persimpangan Tol Sedenak. Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan peluang ekonomi demi kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.

 

Selain itu, peruntukan tersebut juga akan melibatkan projek menaik taraf dan pembinaan jalan baharu di beberapa kawasan tumpuan di negeri ini. Ia membabitkan projek menaik taraf persimpangan di Seksyen 16 Jalan Johor Bahru – Kulai – Gelang Patah yang melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM280 juta serta RM60 juta bagi membina laluan pintasan di Taman Muhibbah, Kluang melibatkan Jalan Kota Tinggi – Kluang.

 

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan turut membolehkan dua projek baharu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi akan dilaksanakan mengikut jadual meliputi RTB Sungai Mengkibol di Kluang dan RTB Sungai Chaah, Segamat serta projek penggantian laluan eskalator di Johor Bahru Sentral dan Kompleks Kastam, Imigresen (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar bernilai RM45 juta.

 

Melalui pendekatan ‘Whole-of-Government’ khususnya bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Lebuhraya Senai-Desar (SDE) Fasa 2A juga bakal dinaik taraf bermula dari Cahaya Baru ke Sungai Johor melibatkan kerja-kerja penambahan empat lorong bagi mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya.

 

Selain itu, bagi menyokong pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS Link) yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Singapura pada 1 Januari 2027, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi menambah laluan dan bas henti-henti baharu termasuk di kawasan bandar raya Johor Bahru, selain fasa terakhir Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Johor Bahru dijangka akan turut beroperasi pada hujung tahun ini.

 

#JohorSafeZone

#BelanjawanMADANI2026
#BelanjawanRakyat
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor