JS-SEZ RANCAKKAN PEMBANGUNAN INDUSTRI PONTIAN


Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) merupakan antara enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengorak langkah strategik dalam menyokong Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) menerusi inisiatif Johor Fast Lane (JFL) bagi menarik pelabur asing dan domestik sekali gus merancakkan pembangunan di daerah berkenaan.

 

Menerusi inisiatif tersebut, MPPn mempermudah prosedur kelulusan perniagaan dengan membolehkan permohonan lesen perniagaan dilakukan semasa 50 peratus pembinaan siap seterusnya dikeluarkan dalam tempoh sehari selepas Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diperoleh.

 

Keberkesanan pengurangan birokrasi dan kemasukan pelabur ke kawasan pentadbiran MPPn menyaksikan sebuah kawasan perindustrian baharu berskala besar dibangunkan secara berfasa di Kawasan Perindustrian Tropicana dekat Mukim Jeram Batu berkeluasan 981.3 ekar bagi menyokong keperluan industri.

 

Di bawah kerangka JFL, MPPn turut menyelaraskan usaha bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Invest Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melalui penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

 

MPPn juga sedang menaik taraf sistem permohonan digital melalui sistem MYPATIL yang memudahkan permohonan lesen perniagaan selain bakal memperkenalkan sistem ePBT 3.0 untuk permohonan lesen tidak berisiko secara dalam talian dengan pelaksanaan penuh dijangka bermula Januari ini.

 

Pembangunan yang dirancang akan dipantau oleh MPPn agar mematuhi garis panduan perancangan ditetapkan dalam memastikan pengurusan bandar berdaya huni dan mampan seterusnya membuka peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Pontian.

 

Selain itu, MPPn memberikan perhatian khusus kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui penyediaan gerai baharu, pasar moden dan mewujudkan komuniti peniaga kecil di Lorong Taib serta Pekan Nanas untuk mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga.

 

MPPn merupakan antara enam PBT terlibat dalam pelaksanaan JS-SEZ yang dijangka membuka peluang dan kelebihan besar kepada kawasan The Greater JB dan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik yang diyakini memberi impak besar kepada ekonomi Johor.

 

#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor