JTDC JOB FAIR MYFUTUREJOBS X TAR UMT JOHOR @ SEGAMAT SELANGKAH MENUJU KERJAYA

Sekitar penganjuran JTDC Job Fair MyFutureJobs X TAR UMT Johor @ Segamat yang berlangsung di ICT Centre Atrium TAR UMT, Segamat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Segamat – Golongan graduan dan pencari kerja di sekitar daerah Segamat berpeluang untuk mengisi pelbagai jawatan menerusi penganjuran Program JTDC Job Fair MyFutureJobs X TAR UMT Johor @ Segamat yang berlangsung di ICT Centre Atrium TAR UMT, Segamat hari ini.

 

Program kali ini yang diadakan dengan kerjasama Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) Cawangan Negeri Johor turut menghimpunkan seramai 15 majikan yang menawarkan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang.

 

Antaranya ialah kejuruteraan, perakaunan dan audit, pengurusan dan pentadbiran, teknologi dan pusat data, hospitaliti dan industri F&B serta operasi dan pengeluaran khususnya untuk graduan dan golongan pencari kerja.

 

Bagi Nurfazrina Azmi, 24, graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam jurusan Teknologi Maklumat berkata, platform ini amat membantu beliau yang baharu sahaja tamat menjalani latihan praktikal kerana ia memudahkan pencarian pekerjaan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri dalam membina kerjaya pada masa akan datang.

 

Tambahnya lagi, melalui penganjuran kerjaya seumpama ini lebih memudahkan graduan seperti dirinya berbanding membuat pencarian kerjaya di portal tertentu yang persaingannya lebih tinggi, khususnya dalam bidang teknologi dan maklumat.

 

Bagi, Thanesh Manalan, 35, pula memberitahu bahawa penganjuran program yang diadakan di Segamat hari ini telah membuka banyak peluang pekerjaan, selain turut membantu graduan dan pencari kerja untuk membina keyakinan serta pengalaman dalam sesi temu duga secara langsung.

 

Program JTDC Job Fair MyFutureJobs X TAR UMT Johor @ Segamat kali ini juga turut menarik minat penyertaan daripada beberapa syarikat seperti Legoland Malaysia Resort, AFA Business Solution, KOM Technologies, YYC Management Services Sdn Bhd, Eco Shop Marketing Berhad, Tea Garden Restaurant Sdn Bhd dan beberapa syarikat yang lain.

 

#JohorSafeZone
#SMI
#JTDCJOBFAIR
#MyFutureJobs
#KerjayaJohor
#TARUMT
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor