JUALAN KASIH JOHOR DIPERKASA DENGAN PERUNTUKAN TAMBAHAN RM30 JUTA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan tambahan RM30 juta bagi memperluas pelaksanaan Jualan Kasih Johor susulan sambutan dan maklum balas positif rakyat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi memperluas pelaksanaan Jualan Kasih Johor susulan sambutan luar biasa serta maklum balas positif daripada rakyat di pelbagai peringkat akar umbi.

 

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan Jualan Kasih Johor meningkat kepada RM45.4 juta bagi tahun 2026 yang dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 750,000 keluarga Bangsa Johor.

 

Sebelum ini, sebanyak RM15.4 juta telah diperuntukkan pada tahun 2026 bagi tujuan pelaksanaan program berkenaan di 336 lokasi di seluruh Johor dengan sasaran lebih dua juta rakyat akan menikmati manfaat daripada inisiatif ini.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM26 juta bagi menjayakan inisiatif ini sebagai antara langkah berterusan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

 

Menerusi pelaksanaan program berkenaan, Jualan Kombo Kasih bernilai RM15 yang merangkumi seekor ayam, sepapan telur dan dua liter minyak masak akan diteruskan bagi membantu rakyat berjimat dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan berkaitan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#JualanKasihJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor