KACANG POOL SATUKAN RAKYAT MALAYSIA


Penyertaan makan kacang pool paling ramai menjadi sejarah baharu dalam rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sebut sahaja kacang pool, pasti terliur dengan keenakan sajian terkenal roti paun atau roti perancis cecah dengan kuah kacang parang berserta daging kisar yang dilengkapkan telur goreng.

 

Bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat negeri ini khususnya sekitar bandar raya Johor Bahru, tetapi menjadi hidangan pasti cuba kepada mereka dari luar negeri dan negara.

 

Sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, telah terciptanya sejarah baharu dalam rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) penyertaan makan kacang pool paling ramai.

 

Seramai 2,400 peserta berbilang kaum telah menyertai cabaran berkenaan yang turut menyemarakkan keharmonian dan memperkukuh perpaduan yang menjadi matlamat utama sambutan.

 

Bagi Razman Durhan, 25, dari Kinabatangan, Sabah akui tertarik dengan keenakan sajian itu selepas buat pertama kali menikmati juadah kacang pool yang disediakan.

 

Beliau berpandangan hidangan berkenaan sepatutnya diangkat dan dibawa ke negeri-negeri lain untuk lebih diperkenalkan kepada orang ramai melalui kaedah silang budaya.

 

Selain menerima pengiktirafan MBOR menerusi aktiviti tersebut, Kementerian Perpaduan Negara turut mengangkat sajian itu sebagai Makanan Warisan Kebangsaan.

 

Terdahulu, Sijil Pengiktirafan MBOR telah diserahkan kepada YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara daripada Siti Hajar Johor dan Lee Pooi Leng, Pegawai MBOR.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor