EMPAT DEKAD TAWAN SELERA PELANGGAN


A. Zainudin Abdullah, 58, pengusaha Martabak Singapura terletak di Jalan Kolam Air, Taman Nong Chik. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Sekiranya datang ke Johor Bahru, jangan lupa untuk menikmati Martabak Singapura terletak di Jalan Kolam Air, Taman Nong Chik yang pastinya menggamit selera anda.

 

Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa martabak ini sudah empat dekad bertapak di negeri ini, di mana segalanya bermula di Muar pada 1 Disember 1983 dan seterusnya di Sungai Chat sekitar tahun 1988.

 

Mengimbau kembali perjalanan perniagaan diusahakan keluarga, A. Zainudin Abdullah, 58, memberitahu sewaktu kecil dirinya gemar makan martabak sehingga hampir setiap hari bapanya terpaksa membeli sajian berkenaan.

 

Bagaimanapun, pada suatu ketika, bapanya pulang bersama kompaun parkir hanya kerana membelikan martabak untuknya yang menjadi titik tolak bermulanya proses mempelajari pembuatan dan memulakan perniagaan oleh kedua ibu bapanya.

 

Atas sebab itu, adalah tepat ungkapan ‘dari kegemaran anak menjadi perniagaan warisan’ digambarkan ke atas perniagaan diusahakan yang turut dikenali pengunjung dari dalam mahupun luar negeri termasuk Singapura.

 

A. Zainudin memaklumkan perniagaan warisan itu terdapat di dua lokasi iaitu ‘Martabak Singapura JD’ di Muar dikendalikan olehnya, manakala ‘Martabak Singapura Sungai Chat’ dikendalikan oleh abangnya, Maghza Suffi Abdullah.

 

Bagi mengekalkan keenakan makanan tersebut, resipi dan kualiti bahan penyediaan martabak hingga kuah kacang dal ‘gearbox’ yang mengikut selera lokal berserta sos dan timun sentiasa dijaga pada setiap masa.

 

Penghasilan martabak ini boleh mencecah sehingga 400 keping sehari bagi memenuhi selera pelanggan malah turut disediakan secara sejuk beku yang boleh disimpan dalam tempoh tiga bulan.

 

#SantaiMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor