KAUNTER BERGERAK TERJEMAH KECEKAPAN PENYAMPAIAN, PERKHIDMATAN MAINJ


Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa memaklumkan inisiatif kaunter zakat bergerak itu mendapat maklumbalas positif daripada orang ramai.

 

ISKANDAR PUTERI — Kaunter Bergerak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dilancarkan sejak tujuh tahun lalu, meningkatkan sistem penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam kepada umat Islam di negeri ini.

 

Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa berkata, perkhidmatan bermula sejak tahun 2016 itu menawarkan perkhidmatan pertanyaan dan taksiran zakat selain saham waqaf dan fidyah.

 

Beroperasi dari jam 9 pagi hingga 3 petang pada Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat dan Sabtu, menurutnya, perkhidmatan itu disediakan di lokasi yang menjadi tumpuan umum antaranya Bandar Baru UDA (BBU).

 

“Kami tentukan masa operasi hingga jam 3 petang bagi memudahkan urusan ‘closing’, tetapi jangan risau. Setiap hujung minggu pun kami beroperasi.

 

“Kaunter ini terdiri daripada dua Amil bahagian pungutan zakat dan seorang penyelia pemantau MAINJ. Selain itu, kaunter bergerak ini juga diletakkan di lokasi program tertentu,” katanya.

 

Beliau berkata, Kaunter Bergerak MAINJ dilengkapi komputer dan komunikasi, mesin pencetak, penyaman udara, kemudahan Wi-Fi serta sistem data pengguna.

 

Shafie turut memaklumkan inisiatif itu mendapat maklumbalas positif daripada orang ramai terutama memudahkan mempermudahkan urusan dengan kaedah pembayaran melalui tunai dan cek serta kad debit.

 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Ustaz Azlan Kuangit memberitahu kaunter tersebut berjaya mengutip zakat berjumlah lebih RM1 juta pada tahun lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor