GALERI TENUN JOHOR HIMPUN FABRIK REKAAN KHAS


Penolong Pegawai Penyelidik Bahagian Pengurusan Pemuziuman dan Pameran Yayasan Warisan Johor (YWJ), Nurul Haziera Ramlan berkata, terdapat 10 rekaan tenun Johor yang telah dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). | Foto oleh: Asyiqin Jalil, MDJ

 

Galeri Tenun Johor yang dirasmikan pada 18 November 2018, kini telah berjaya menginovasikan dan menyuntik nafas baharu kepada khazanah tradisi melayu turun temurun yang mempunyai tempat istimewa di hati masyarakat Melayu selain menghimpunkan pelbagai khazanah fabrik rekaan khas tenun Johor.

 

Terletak di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Galeri Tenun Johor telah meneruskan seni tenunan Rumah Tenun Johor di Jalan Mahmoodiah yang diilhamkan penubuhannya pada 1946 oleh Tunku Ampuan Mariam, adinda DYMM Sultan Ibrahim dan direalisasikan oleh Puan Zamilah binti Bilal atau lebih dikenali sebagai Tok Ambak @ Mak Ambak.

 

Rumah Tenun Johor telah menghasilkan kain tenun berkotak atau beragi yang dikenali sebagai tenun corak Muar. Rumah Tenun Johor pernah menjadi destinasi popular pelancong sehingga ia berhenti beroperasi pada 1980.

 

Penolong Pegawai Penyelidik Bahagian Pengurusan Pemuziuman dan Pameran Yayasan Warisan Johor (YWJ), Nurul Haziera Ramlan berkata, terdapat 10 rekaan tenun Johor yang telah dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

 

“YWJ telah mempatenkan sebanyak 10 rekaan tenun Johor di bawah MyIPO dengan enam direka khas untuk kerabat diraja Johor dan empat corak boleh digunakan oleh rakyat biasa.

 

“Songket Johor Jauhar, Songket Johor Medini, Songket Johor Maharani, Songket Johor Tunku Mahkota Johor 1, Songket Johor Tunku Mahkota Johor 2 dan Songket Johor Tanjung Puteri ini dikhususkan untuk kerabat diraja Johor kerana dimasukkan motif kebesaran Raja-raja.

 

“Kesemua songket tersebut mempunyai elemen yang tersendiri seperti motif mahkota pada Songket Johor Jauhar untuk kegunaan Sultan Johor, motif bunga tiara bagi Songket Johor Maharani yang dikhususkan buat Permaisuri Johor manakala Songket Tunku Mahkota Johor pula mempunyai motif huruf jawi ‘Ta, Mim dan Jim’.

 

“Songket Johor Tanjung Puteri pula digunakan oleh puteri raja dengan elemen pucuk rebung lada hitam ditampilkan pada songket tersebut,” tambahnya.

 

Haziera berkata, empat rekaan bagi rakyat biasa pula diberi nama Kain Benang Johor Corak Muar Berbunga Renek A dan B, Kain Tenun Johor Mayang Selida dan Kain Tenun Johor Tanjung Piai

 

Ujarnya lagi, perbezaan yang boleh dilihat di antara kain tenun Johor dan kain negeri yang lain adalah reka bentuk kain benang itu sendiri, motif yang digunakan dan kedudukan motif yang ditenun.

 

“Hasil kajian dan inovasi bersama dengan Prof. Dr. Zainon Ismail dan Prof. Dr. Norwani Nawawi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), kita telah memberi nafas baharu kepada kain tenun Johor dengan menempatkan motif atau elemen yang hendak ditenun di antara kotak.

 

”Namun, kami masih lagi mengekalkan warisan terdahulu yang menjadi lambang kepada kain tenun Johor iaitu berkotak dan beragi. Hasil kajian dan inovasi juga telah menghasilkan motif daripada flora dan fauna yang terdapat di negeri Johor.

 

”Antara motif yang berkisarkan flora dan fauna di negeri Johor ialah pohon gambir, lada hitam, kupang, buah tampoi, buah nanas, buah sentol, pucuk paku, mayang kelapa, daun sirih dan buah mengkudu,” katanya.

 

Selain itu, Haziera berkata, penghasilan sehelai kain berukuran 2.25 meter perlu melalui lapan proses dengan cara mencelup benang, menerai benang, menggulung, menyampak, mengarat, menganing dan menenun bagi mendapatkan tenunan yang terbaik.

 

”Kesemua proses ini akan mengambil masa sehingga satu bulan bagi menghasilkan kain tenun Johor yang dipadankan dengan Baju Melayu Teluk Belanga serta kain sarung untuk Baju Kurung Teluk Belanga wanita.” katanya.

 

Galeri Tenun Johor kini mempunyai 10 penenun berkemahiran bagi menghasilkan kain tenun Johor yang ditempah oleh kerabat diraja Johor, jabatan-jabatan kerajaan dan juga orang awam.

 

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor