KEJAYAAN TRANSFORMASI JDT TARIK MINAT CHELSEA KE SSI

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Behdad Eghbali, pemilik bersama Chelsea FC sempena perlawanan pramusim Chelsea vs JDT pada 9 Ogos 2026.
#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengangkat martabat bola sepak ke tahap lebih tinggi, mengubah lanskap sukan ini ke arah kemajuan dan berdaya saing serta dikenali serata dunia.
Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT menjadi individu utama dalam kejayaan merangkul gelaran Liga Super sebanyak 12 kali berturut-turut yang terus menjadi bualan termasuk media antarabangsa.
Imbas kembali tahun 2013, momen bersejarah yang menjadi titik tolak pencetus revolusi menyeluruh lanskap bola sepak negeri Johor. Sewaktu Tunku Ismail berangkat menghadiri sebuah perlawanan hoki di Johor, penyokong bola sepak menjerit sambil merayu kepada Baginda agar menyelamatkan bola sepak Johor yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan selama berdekad-dekad.
Jeritan dan rayuan ikhlas daripada penyokong yang dahagakan kejayaan tersebut tidak dipandang sepi, malah telah membakar semangat Tunku Ismail untuk bertindak dan bertekad untuk mengubah nasib bola sepak Johor demi maruah negeri.
Dalam tempoh 13 tahun berikutnya, Tunku Ismail telah memimpin salah satu transformasi luar biasa dalam dunia bola sepak moden.
Menjelang penghujung bulan apabila JDT menyambung semula kempen Liga Super Malaysia menentang Kuching, skuad Harimau Selatan bukan sahaja akan mempertahankan kejuaraan bagi musim ke-13 berturut-turut malah turut memburu rekod dan sejarah baharu.
Rekod tanpa kalah dalam liga yang bermula sejak April 2021 itu berpotensi mencecah 109 perlawanan, sekali gus mengatasi rekod dunia yang dicatat oleh Asec Mimosas, kelab dari Ivory Coast pada awal tahun 1990-an.
Pencapaian luar biasa ini telah membawa pengiktirafan kepada JDT di mata dunia, membuatkan Harimau Selatan bakal menerima kunjungan Kelab Bolasepak Chelsea, juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025 bagi perlawanan persahabatan pramusim pada hari Ahad.
“Rekod dunia bukanlah matlamat utama. Ia hanyalah hasil sampingan. Apabila anda membina sesuatu dengan cara yang betul seperti membina akademi bola sepak, kemudahan latihan, sains perubatan, serta budaya kemenangan yang macam kita ada, rekod-rekod itu akan datang dengan sendirinya. Kita tidak mengejar rekod. Kita mengejar standard, dan rekod adalah hasil yang tercipta apabila standard anda cukup tinggi untuk tempoh masa yang lama.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pada masa kini, pusat latihan JDT dilengkapi dengan peralatan sains sukan moden seperti treadmill anti-graviti (AlterG) dan mesin terapi oksigen serta hidrogen (Airpod) untuk membantu pemulihan serta kecergasan pemain. Selain itu, sebuah pusat latihan baharu seluas 39 hektar dilengkapi dengan beberapa buah padang termasuk sebuah bangunan padang tertutup yang berbentuk seperti logo kelab bakal disiapkan dalam tempoh dua tahun.
Stadium Sultan Ibrahim dengan kapasiti 40,000 tempat duduk yang diiktiraf sebagai ‘Stadium of the Year 2020’ peringkat global oleh StadiumDB.com, bakal menjadi saksi perlawanan bersejarah di antara juara Liga Super Malaysia bertembung dengan juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Xisco Munoz, pengendali Harimau Selatan yang pernah mengendali pasukan di Liga Perdana Inggeris turut mengakui kemudahan fasiliti bola sepak di Johor menyamai apa yang ada sewaktu beliau bertugas di sana.
Xisco teruja dengan cara kerja Tunku Ismail. Beliau berpuas hati dengan cara Baginda yang sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik prestasi dan memikirkan langkah seterusnya yang boleh diambil pada musim hadapan untuk terus maju tanpa menoleh ke belakang.
Fasa seterusnya dalam visi Tunku Ismail adalah menjadikan JDT satu kuasa besar dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit, serta membina sesuatu yang membolehkan sebuah kelab dari Johor berdiri sama tinggi dengan nama-nama terbesar dalam sukan bola sepak.
“Ini bukan sekadar soal trofi. Apabila anda membina sesebuah kelab dengan cara yang betul, anda sebenarnya membina kerjaya, infrastruktur dan semangat kebanggaan yang kekal di rantau ini. Malah setiap kali kelab ini bersaing dengan nama-nama besar, ia membuktikan kepada generasi akan datang di sini bahawa tiada batasan bagi sesuatu cita-cita. Itulah legasi yang paling bermakna bagi saya.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Luaskan Kuasamu Johor!
#JohorSafeZone
#JDT
#TheTMJeffect
#WeAreAMovement
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


