JOHOR NAFI USAHA PERKASA SEKTOR KESIHATAN SEKADAR ‘WAYANG’

Kerajaan Johor menegaskan usaha memperkukuh sistem kesihatan bukan sekadar ‘wayang’ dan menggesa pengisian segera jawatan petugas kesihatan bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih berkualiti. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menafikan dakwaan ‘tidak masuk akal’ pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menuduh usaha memperkukuh sistem kesihatan di negeri ini sekadar ‘wayang’, sebaliknya menegaskan bahawa pelbagai inisiatif telah digerakkan sejak beberapa tahun lalu bagi mengurangkan beban rakyat dan petugas kesihatan di sektor berkenaan.
Isu kekurangan doktor, jururawat dan petugas kesihatan telah lama dibangkitkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu sejak dari tahun 2023 lagi menerusi pelbagai saluran rasmi, termasuk beberapa sesi libat urus, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Pada tahun lalu juga, pihak KKM turut menghadap DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan menyatakan komitmen mereka untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Kulai serta menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang (HPG).
Sementara menunggu pengisian jawatan dilaksanakan, Kerajaan Negeri turut mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk membiayai penempatan doktor locum di hospital utama, menubuhkan Southern Volunteers (SV) Healthcare, menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan serta menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat secara pos (UMP) dan Locker4U.
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Johor turut menyediakan inisiatif ambulans tambahan, menyalurkan bantuan aset serta peralatan perubatan, melaksanakan Klinik ‘Decanting’ bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan dan menjalinkan kerjasama strategik dengan sektor swasta termasuk KPJ Healthcare dalam aspek kepakaran serta tenaga kerja.
Menerusi pelbagai usaha juga telah dilaksanakan itu secara tidak langsung turut membuktikan Kerajaan Negeri bukan hanya sekadar menyeru atau mendesak, sebaliknya turut mengambil inisiatif dengan menggunakan peruntukan dan sumber negeri bagi membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor.
Pada masa sama, Kerajaan Johor menegaskan pengisian jawatan petugas kesihatan perlu dipercepatkan oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa agar komitmen yang telah diberikan sebelum ini akan dapat direalisasikan demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan terbaik.
#JohorSafeZone
#KKM
#Hospital
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


