KERAJAAN FOKUS TINDAKAN SEGERA TANGANI BANJIR DI KOTA TINGGI


Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) meninjau lokasi banjir di sekitar Bandar Kota Tinggi / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

 

KOTA TINGGI — Kerajaan akan memperuntukan sebanyak RM22.6 juta bagi melaksanakan projek mempertingkatkan sistem perparitan serta projek pelebaran dan pendalaman sungai di daerah ini bagi mengatasi masalah banjir.

Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan ini dilakukan bagi memastikan masalah banjir ini akan dapat diatasi dengan sebaik yang mungkin.

“Di Johor, punca banjir sebagaimana yang ditaklimatkan kepada saya, ia kerana luruan hujan berada ditahap yang luar biasa dan ini adalah punca utamanya. Keduanya ialah paras air di Sungai Johor meningkat yang bukan sahaja akibat luruan hujan tetapi juga air yang datang dari daerah Kluang dan Segamat.

“Jadi dalam keadaan yang begitu, saya datang untuk mengambil beberapa tindakan iaitu tindakan segera terutama bagi mempertingkatkan sistem perparitan di Kota Mas dan di Bandar Kota itu sendiri. Ini memerlukan perbelanjaan sebanyak RM7.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan banjir di sekitar daerah Kota Tinggi di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil.

Terdahulu Ahmad Zahid turut meluangkan masa meninjau situasi banjir di sekitar Bandar Kota Tinggi dan melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Usman Awang dan PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota di sini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya juga mengumumkan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Lalang bagi membolehkan ia menampung jika berlaku hujan luar biasa dan juga aliran air dari daerah lain.

“Jika berlaku peningkatan paras air laut maka dengan mendalam dan melebarkan Sungai Lalang ini… semoga ia dapat dialirkan dengan segera ke laut dan ini memerlukan peruntukkan sebanyak RM15 juta.

“Dari segi jangka panjang, kita ketahui Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor memerlukan perbelanjaan yang sangat besar iaitu kira-kira RM780 juta. Ini akan dimasukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Disamping itu RTB di Sungai Pemandi sebanyak RM25 juta kini sedang di peringkat tender,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, bagi kawasan jalan raya yang agak rendah iaitu laluan Kota Tinggi dan Mersing yang sering ditenggelami banjir pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya dalam tempoh terdekat.

“Ia (jalan raya Kota Tinggi-Mersing) memerlukan perbelanjaan sebanyak RM120 juta. Ini akan saya akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor