RM10 JUTA DIPERUNTUKKAN KEPADA MANGSA BANJIR JOHOR


Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

 

KOTA TINGGI — Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bantuan itu melibatkan bekalan keperluan di Pusat Pemindahan Sementera (PPS) yang meningkat di negeri ini.

“NADMA telah diberitahu agar pembelian barangan keperluan seperti tilam, bantal dan selimut dilakukan dengan segera dan diserahkan kepada Pengurusan Bencana Daerah untuk diberikan kepada mangsa.

“Pemberian wang bantuan ke Pengurusan Bencana Daerah akan kita lakukan dengan segera sebagai tindakan pantas oleh NADMA” katanya pada sidang media di Sekolah Rendah Cina Jenis (SJKC) New Kota, di sini, hari ini.

Selain itu Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua warga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di PPS terlibat.

“Saya telah menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita bagi memobilisasikan pegawai JKM daripada negeri lain ke Johor,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya berterima kasih kepada ‘Southern Volunteers’ langkah proaktif yang dijalankan dibawah koordinasi (DYAM) Tunku Mahkota Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor