KERAJAAN JOHOR BANTU LIMA BERANAK TINGGAL DI RUMAH DAIF


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, keluarga itu sudah berpindah di Projek Perumahan Rakyat (PPR). | Foto ihsan FB Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Lima beranak yang tinggal di sebuah rumah daif di Kampung Laut, dekat Skudai, mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, keluarga itu sudah berpindah di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tampil menghulurkan bantuan dari segi urusan persekolahan, keperluan barangan dan kebajikan kepada ibu dan empat anak terbabit.

 

“Semua pihak dibawah Kerajaan Negeri yang diurus tadbir oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi (Menteri Besar Johor) akan berkerjasama bantu pastikan kebajikan rakyat terbela.

 

“Semoga Allah SWT beri kekuatan kepada ibu membesarkan anak-anak beliau. Semoga Allah SWT memberi keterangan hati kepada anak-anak ini memulakan sesi persekolahan, menjadi manusia berilmu dan berjaya,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

 

Perpindahan keluarga terbabit ke PPR diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan dibantu oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dari sudut logistik.

 

Selain itu, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut hadir bagi urusan persekolahan tiga daripada empat anak wanita berkenaan.

 

Sementara Yayasan Penyayang Iskandar Puteri menghantar bantuan berupa bantal, tilam dan keperluan lain, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pula dari segi kebajikan.

 

Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim serta wakil daripada kerajaan telah mengadakan lawatan ke rumah daif didiami lima beranak terbabit pada Rabu.

 

Dalam lawatan ke atas ibu bersama empat anaknya itu, Kerajaan Negeri memberikan komitmen dalam mengagihkan bantuan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor