WAD KANAK-KANAK HSNI BATU PAHAT DITAMBAH


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon hadir ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri yang diperuntukkan sebanyak RM50,000 selain sumbang daripada dua syarikat swasta lain. | Sumber foto: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kekurangan peralatan wad kanak-kanak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), dekat Batu Pahat, mendapat perhatian dan dibantu demi keselesaan warga hospital serta pesakit.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sejak 30 April lalu, beliau sudah mendapati kekurangan wad itu antaranya keadaan persekitaran yang panas dalam lawatan ke hospital berkenaan.

 

Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, Dewan Perniagaan Batu Pahat bersama Persatuan Perabot Batu Pahat menyumbangkan kipas, penyejuk udara dan kerusi baring kepada hospital pada 15 Mei lalu.

 

“Saya bersama dua syarikat Batu Pahat, Ramatex Textiles Industry S/B dan Teo Seng Capital Berhad menyumbang RM30,000 masing-masing bagi pembelian 25 set katil kanak-kanak, meja dan juga lokar.

 

“Peralatan ini telah juga digunakan oleh pesakit di wad kanak-kanak. Hari ini (Khamis) saya ke HSNI berasa gembira dengan sumbangan ini dapat membawa kemudahan dan keselesaan kepada para pesakit,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

 

Tian Soon berkata, Kerajaan Johor juga memperuntukkan RM50,000 bagi pembelian kerusi dan juga komputer baharu dengan harapan kemudahan itu membantu kelancaran operasi hospital serta memberikan keselesaan kepada pesakit yang menunggu.

 

“Bantuan kepada hospital kali ini adalah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan juga Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan hospital dapat menyediakan perkhidmatan perubatan yang lebih banyak kepada rakyat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor