KERAJAAN JOHOR BERI KERJASAMA PENUH : INISIATIF JENDELA


Kerajaan Johor mengadakan perbincangan mengenai inisiatif JENDELA bersama delegasi Kementerian Komunikasi dan Digital diketuai menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil | Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menjadi antara intipati perbincangan antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.

 

Kedua-dua pemimpin tersebut bertemu dalam lawatan kerja rasmi pertama Fahmi ke negeri ini, bersama delegasi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

 

Dalam pertemuan itu, Onn Hafiz memberitahu telah memaklumkan kepada delegasi KKD mengenai penubuhan pasukan petugas khas khusus bagi mempercepatkan proses pelaksanaan ekonomi digital di Negeri Johor.

 

Menurut beliau, pasukan petugas khas tersebut akan dianggotai oleh agensi-agensi negeri yang berkaitan, termasuk Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ).

 

“Menerusi Belanjawan Negeri Johor 2023, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk meneruskan Projek JENDELA, yang semestinya memperbaiki dan meluaskan jaringan akses internet dan jalur lebar di seluruh Negeri Johor.

 

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT-PBT akan membuat penyelarasan dan sentiasa memberikan kerjasama penuh serta pemudahcara bagi memastikan kelancaran Projek JENDELA ini,” kongsi beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Di bawah inisiatif JENDELA, terdapat lima kategori pelaksanaan projek iaitu pemasangan Menara, Broadband Wireless Access (BWA), sambungan gentian optik (fiber), Point of Presence (PoP), dan 5G.

 

Onn Hafiz berkata, selain itu, Kerajaan Johor bersama KKD serta SKMM turut senada dan memandang serius mengenai isu berita palsu.

 

“Tahniah kepada pihak KKD dan SKMM kerana sepanjang tempoh 2021 sehingga Januari 2023, sebanyak 458 kandungan meliputi berita dan kandungan palsu telah diturunkan di platform media sosial.

 

“Kerajaan Negeri bersama pihak kementerian serta agensi-agensi kerajaan akan sentiasa cakna dan bersiap siaga dalam membendung penyebaran berita palsu yang sudah tentu akan menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat dan mengganggu kesejahteraan awam,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor