PUSAT PENGAJIAN KEJORA PERKASA TVET


Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika melakukan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Bandar Penawar, Kota Tinggi / Gambar Ihsan FB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

ISKANDAR PUTERI — Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) perlu mempunyai pusat pengajiannya tersendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan badan berkanun terbabit memperkasakan sektor pendidikan dan latihan vokasional (TVET) dan seterusnya dapat membangunkan modal insan terutama di kawasan di bawah kelolaannya.

“KEJORA perlu ada Pusat Pengajian KEJORA yang boleh dibuat dan dibina mungkin bersama pihak PETRONAS yang telah diberikan mandat dalam pembangunan pembelajaran TVET.

“Ia dapat memastikan segala aspek merangkumi pembangunan pelancongan, pertanian dan usahawan perlu kepada perancangan jangka panjang demi merealisasikan pembangunan tekno-usahawan di luar bandar dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke KEJORA di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini, hari ini yang turut disertai Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.

Hadir sama pada lawatan berkenaan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Mas Rizal Hilmi dan Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus.

Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, beliau juga berasa teruja untuk melakukan lawatan ke KEJORA dan kagum dengan pembangunan yang telah dibangunkan oleh KEJORA selama lebih 50 tahun.

“Ia adalah satu pencapaian yang terbaik dan ianya perlu diperluaskan ke keseluruhan Daerah Kota Tinggi dan Kluang.

“Saya berharap agar diadakan satu bengkel khas bagi memperincikan perkara ini. Selain itu juga, KEJORA dilihat telah mula mengorak langkah ke hadapan dengan menyelesaikan isu permasalahan kutipan sampah di luar bandar,” katanya.

Pada rangka lawatan ini juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan penerima sumbangan yang merangkumi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Transformasi Kualiti Produk (PTKP).

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor