KERAJAAN JOHOR ISYTIHAR 24 APRIL HARI KELEPASAN AM TAMBAHAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Kerajaan Johor bersetuju mengisytiharkan 24 April ini, sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi negeri ini, selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar | Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersetuju mengisytiharkan 24 April ini, sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi negeri ini, selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persetujuan perisytiharan itu selaras dengan Seksyen 8 dan 9 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

 

“Seperti yang semua sedia maklum, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Hari Kelepasan Am sempena Hari Raya Aidilfitri ialah pada 21 April 2023 (Jumaat) atau 24 April 2023 (Isnin), bergantung kepada pengumuman tarikh 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis ini.

 

“Atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 24 April 2023 (Isnin) sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan selaras dengan Seksyen 8 dan 9 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain itu, Onn Hafiz turut merakamkan ucapan dan menitipkan doa kepada rakyat Johor sempena kehadiran Syawal tidak lama lagi.

 

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor