KERAJAAN NEGERI KENAL PASTI LOKASI LAMPU ISYARAT PINTAR NEGERI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pemasangan Lampu Isyarat Pintar Negeri Johor itu akan berfungsi mengurangkan kesesakan aliran trafik di kawasan yang terlibat | Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri mengenal pasti empat lokasi baharu pemasangan Lampu Isyarat Pintar Negeri Johor di bawah selian Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penambahbaikan lampu isyarat pintar itudengan penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kehadiran kenderaan selain menghubungkan lampu isyarat di sepanjang laluan.

 

Katanya, lokasi yang telah dikenal pasti adalah di Skudai, Johor Bahru membabitkan persimpangan Taman Sri Pulai, persimpangan Taman Sri Pulai Perdana-Taman Teratai, persimpangan Taman Sri Pulai Perdana 2-Taman Pulai Emas dan persimpangan Bandar Baru Kangkar Pulai.

 

“Ketika kesesakan, isyarat lampu hijau akan menyala lebih lama, begitu juga dengan lampu merah simpang bertentangan mengikut kepada sistem AI yang menghubungkan ke semua lampu isyarat.

 

“Projek itu akan menelan kos kira-kira RM270,000 hingga RM300,000 bergantung kepada jenis persimpangan. Cuma buat masa ini, kita belum ada pusat kawalan lengkap sebab baru ada empat cadangan Lampu Isyarat Pintar,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Task Force Koordinasi Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.

 

Mohamad Fazli berkata, kertas kerja pemasangan Lampu Isyarat Pintar Negeri Johor itu sudah dibentang kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mendapatkan tindakan susulan daripada pihak kementerian.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kawasan persimpangan Simpang Baba-Kampung Parit Buaya, Muar antara lokasi yang telah mula menggunakan teknologi Lampu Isyarat Pintar, baru-baru ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor