KERAJAAN JOHOR LANCAR BAUCAR KASIH, PERKENAL MENU KASIH BANTU RAKYAT TANGANI KOS SARA HIDUP

Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan projek rintis Baucar Kasih Johor dan Menu Kasih Johor di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi bagi membantu meringankan kos sara hidup, termasuk pengenalan Baucar Kasih Johor bernilai RM200 yang dijangka memberi manfaat kepada 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan sekitar. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan projek rintis Baucar Kasih Johor dan Menu Kasih Johor di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.
Menerusi inisiatif terbaharu tersebut, Baucar Kasih Johor bernilai RM200 turut diperkenalkan, sekali gus dijangkan mampu memberi manfaat kepada seramai 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan kawasan sekitar projek rintis berkenaan.
Selain itu, Kerajaan Johor turut memperkenalkan Menu Kasih Johor yang menawarkan beraneka pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan yang berkonsepkan ‘Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih’.
Pelaksanaan inisiatif tersebut merupakan antara pendekatan Kerajaan Johor dalam memperkukuh ekosistem ekonomi rakyat di samping membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan menerusi penyediaan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan sistematik.
Intervensi yang sedang dilaksanakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi turut melibatkan pelbagai penambahbaikan yang merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, fasiliti awam serta pemantauan kualiti makanan dengan kerjasama Johor Chef Association (JCA).
Medan niaga tersebut menempatkan sebanyak 147 unit premis yang melibatkan bazar, pasar basah, lot makanan dan minuman, bilik sejuk, ruang niaga pelbagai guna (MCS) serta kedai serbaneka.
Kerajaan Johor turut memberikan diskaun 50 peratus kadar sewaan kepada semua peniaga bermula November 2025 hingga Disember 2026, selain komited memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan ke seluruh negeri secara berfasa menerusi kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor.
Model pembangunan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi itu juga akan dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa medan niaga yang lebih sistematik, progresif dan berdaya saing di setiap daerah, sekali gus memperkukuh kesejahteraan rakyat serta ekonomi komuniti setempat.
#JohorSafeZone
#BaucarKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


