KERAJAAN JOHOR PANDANG SERIUS KEMATIAN PELAJAR DI YONG PENG

Siasatan berhubung insiden berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berusia 16 tahun terbabit. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat pada petang semalam, khususnya melibatkan keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah.
Siasatan berhubung insiden berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berusia 16 tahun terbabit.
Orang awam dan pengguna media sosial diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan, selain menyediakan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah yang terkesan.
Kerajaan Negeri menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah, namun sama ada insiden berkenaan mempunyai unsur tersebut hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi.
Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap anak Johor menimba ilmu dan membina masa hadapan dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka.
Kerajaan Negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan juga akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, hari ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
#JohorSafeZone
#PendidikanJohor
#TidakPadaBuli
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


