KERAJAAN JOHOR PANTAU PROJEK SAKIT TAMAN DESA IMPIAN
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus memberikan perhatian dengan mencari penyelesaian terhadap projek perumahan sakit di negeri ini.
Projek terbaharu diberikan tumpuan untuk diselesaikan adalah projek Taman Desa Impian, dekat Bandar Tenggara melibatkan 50 unit rumah dan 13 unit kedai yang dijadualkan siap tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor telah mengadakan lawatan pemantauan perkembangan projek itu pada Ahad.
“Susulan lawatan (pada) 5 Julai tahun lalu ke Taman Desa Impian di Bandar Tenggara dan mesyuarat penyelarasan pada 10 April 2023 yang dipengerusikan oleh saya sendiri, pagi ini (Ahad) saya ke Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan seterusnya ke Taman Desa Impian memantau ‘progress’ kerja projek ini yang sepatutnya siap pada tahun 2020.
“Tetapi projek ini mengalami kelewatan siap akibat pandemik COVID-19 dan beberapa masalah teknilal oleh pihak kontraktor dan pemaju. Hasil lawatan dan mesyuarat susulan, sejak Julai tahun lalu, Insya Allah pembeli akan menerima kunci sedikit masa lagi dalam tahun ini,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Ahad.
Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri terus komited untuk menyelesaikan isu perumahan di negeri ini, seperti telah dilakukan terhadap projek-projek sakit lain.
“Seperti tiga projek sakit lain yang telah diselesaikan, walau ia bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sangat komited membantu segala aspek penyelesaian demi kebajikan rakyat Johor,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan ke projek Taman Desa Impian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim; Yang Dipertua MDKT, Mohammad Nazrul Abd. Rahim serta Ketua Pegawai Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Dr. Mohd Shahrizan Sahid.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor