LESEN PENJAJA KINI SIAP DALAM MASA SEHARI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Mohd Jafni Md Shukor merasmikan Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Johor, hari ini. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

KLUANG — Golongan penjaja kecil kini boleh menikmati kemudahan untuk mendapatkan lesen perniagaan dalam tempoh sehari berbanding 30 hari sebelum ini.

 

Ia hasil daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam mengurangan birokrasi di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdapat di negeri ini, sekali gus dapat membantu golongan sasar berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Mohd Jafni Md Shukor, berkata inisiatif permerkasaan sektor perlesenan yang dirangka oleh Kerajaan Negeri juga akan turut mengurangkan syarat bagi mendapatkan kemudahan perlesenan berkenaan.

 

Katanya, Kerajaan Negeri telah menjemput kesemua 16 PBT di Johor untuk menyelaraskan format bagi urusan permohonan lesen yang sebelum ini mempunyai peruntukan undang-undang kecil yang berbeza.

 

“Tempoh kelulusan lesen penjaja kini dipendekkan daripada 30 hari kepada sehari menerusi inisiatif pemerkasaan sektor pelesenan di Johor.

 

“Selain itu, jika dahulu ada 13 syarat (untuk memohon lesen), kini tinggal tiga sahaja syarat (perlu dipenuhi) sebagai usaha Kerajaan Negeri mengurangkan birokrasi ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Johor di sini, hari ini.

 

Hadir sama Setiausaha Bahagian (Bahagian Kerajaan Tempatan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Fizwan Dato’ Mohd Rashidi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Dato’ Syed Zain dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kluang, Mohammad Yazid Baharudin.

 

Mohd Jafni berkata, pihaknya turut mengingatkan penjaja di negeri ini untuk mematuhi segala syarat yang telah diperbaharui bagi memudahkan urusan mereka untuk mendapatkan lesen berkenaan.

 

“Jadi, hari ini penjaja tak perlu risau kerana permohonan lesen satu hari sahaja (diluluskan), tetapi dengan syarat mereka perlu lengkapkan dokumen yang diperlukan bagi mendapatkan lesen,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor