KERAJAAN JOHOR SANTUNI, BANTU KUMPULAN NELAYAN MUAR


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip melepaskan benih ikan | Sumber Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menyantuni kumpulan nelayan di daerah Muar, dalam satu pertemuan menerusi lawatan kerja pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, turut diadakan sesi dialog, ramah mesra dan penyerahan beberapa jenis bantuan kepada nelayan di Parit Bakar.

“Antara bantuan seperti penyerahan 5,000 ekor benih ikan siakap kepada penternak-penternak ikan; penyerahan bagi bantuan bina baru rumah kepada nelayan bernilai RM68,000.

“(Selain itu) penyerahan bantuan peralatan kepada nelayan tempatan kepada 471 penerima keseluruhannya dengan nilai bantuan sebanyak RM141,300 dan penyerahan bantuan program pembangunan semula projek agromakanan,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pegawai Daerah Muar, Dato’ Mustafa Kamal Shamsudin; ADUN Sungai Balang, Selamat Takim; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zainuddin Abd Wahab; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Intan Suhaila Othman.

Zahari berkata, beliau juga melepaskan 10,000 benih ikan siakap di perairan umum dekat Parit Kassim, bagi memastikan kelestarian sumber perikanan selain bertemu komuniti nelayan dan projek ternakan kupang di Sungai Balang.

“Alhamdulillah, lebih RM500,000 bantuan kerajaan telah diterima sebelum ini oleh pengusaha kupang tersebut dan mereka telah berjaya melonjakkan lagi pengeluarannya.

“Komuniti Nelayan juga membangkitkan isu dan cadangan bagi menaiktaraf jeti nelayan. Pihak LKIM telah memasukkan cadangan tersebut dalam perancangan sebelum ini. Insyaallah, kita doakan ianya dipermudahkan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor