KERAJAAN JOHOR SANTUNI, DENGARI SUARA PELAJAR JOHOR DI JORDAN

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyerahkan Sumbangan dari YAB Menteri Besar Johor kepada Persatuan Mahasiswa Johor di Jordan sempena Program Ramah Mesra Pelajar Johor di Jordan di Hotel Rotana, Amman. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#Amman, Jordan – Kerajaan Johor terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kebajikan pelajar di luar negara termasuk mendengar setiap luahan suara anak Johor di perantauan menerusi penganjuran Program Ramah Mesra Pelajar Johor di Jordan.
Sebagai manifestasi komitmen tersebut, YAB Menteri Besar Johor telah memperuntukkan sumbangan sebanyak RM104,000 kepada anak Johor yang kini sedang melanjutkan pelajaran mereka di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara Asia Barat berkenaan.
Sumbangan ini membabitkan RM54,000 untuk manfaat pelajar, manakala RM50,000 pula diperuntukan kepada Persatuan Mahasiswa Johor di Jordan bagi membolehkan mereka memperkukuh pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan mahasiswa.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM3.81 juta menerusi Belanjawan Johor 2026 di bawah Teras 6: Orang Muda Johor iaitu inisiatif Dermasiswa Luar Negara Timur Tengah bagi pelajar Johor di Mesir dan Jordan dengan setiap seorang bakal menerima sebanyak RM300.
Pada program sama turut diadakan ialah ruang interaksi dua hala bagi membolehkan para mahasiswa melontarkan pandangan, berkongsi pengalaman serta mengutarakan permasalahan yang dihadapi sepanjang menuntut di Jordan, sekali gus menjadi input penting kepada Kerajaan Negeri dalam usaha penambahbaikan sokongan kebajikan pelajar, khususnya di luar negara.
Untuk rekod, seramai 170 pelajar Johor kini sedang mengikuti pengajian mereka dalam pelbagai jurusan dari lima universiti di Jordan iaitu Universiti Mu’tah, Universiti Jordan, Universiti Yarmouk, Universiti Al al-Bayt serta The World Islamic Science and Education University (WISE).
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Program Ramah Mesra Pelajar Johor di Jordan di Hotel Rotana, Amman, semalam.
Turut hadir ialah TYT Dato’ Mohamad Nasri Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia Ke Jordan; YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot selaku Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg Tuan Haji Mohd. Radzi Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Shamsudin, Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohorPalestin
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



