KERAJAAN JOHOR UTAMAKAN KESELAMATAN, KESELESAAN PENGGUNA DI SEMPADAN NEGARA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar dan Menteri Kedua Pendidikan Singapura, Dr. Maliki Osman. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited dalam memastikan kelancaran keluar dan masuk di pintu sempadan negara di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersama pihak berkaitan sentiasa berusaha menambah nilai sistem sedia ada.

 

“Petang tadi (semalam) saya berkesempatan merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan bas dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ke Singapura.

 

“Saya melalui proses yang lazim seperti semua pengguna lalui. Masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan ditambahbaik. Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi dan syarikat yang berkenaan akan berusaha untuk memperbaiki lagi sistem sedia ada demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, Onn Hafiz ditemani Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han menggunakan perkhidmatan bas ke Singapura.

 

Difahamkan, kunjungan ke negara jiran itu bagi memenuhi jemputan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar dan Menteri Kedua Pendidikan Singapura, Dr. Maliki Osman.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, Saifuddin Abdul Rahim serta Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh.

 

Onn Hafiz berkata, segala usaha akan dilakukan untuk memastikan keselesaan pengguna di pintu sempadan negara, dengan kerjasama dan bantuan daripada semua pihak terutama Kerajaan Persekutuan.

 

Beliau turut berkesempatan meninjau keadaan aliran trafik di CIQ BSI, dekat Johor Bahru yang menjadi tumpuan dan perhatian kerajaan negeri pada ketika ini, sekembalinya dari Singapura.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor