MENTERI BESAR SERTAI 1,500 PESERTA JAYAKAN GOTONG ROYONG JOHOR BERSIH PERDANA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama-sama para peserta menjayakan Gotong Royong Johor Bersih Perdana di sekitar Sungai Segget, di sini, hari ini. | Foto oleh: Nurina Aisyah, MDJ

 

JOHOR BAHRU — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyertai 1,500 peserta menjayakan Gotong Royong Johor Bersih Perdana di sekitar Sungai Segget, di sini, hari ini.

 

Antara lokasi yang dibersihkan adalah Jalan Segget, Jalan Meldrum, Masjid India, Jalan Trus, Jalan Ungku Puan, Jalan Sulaiman dan Jalan Tun Razak.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri amat komited untuk meneruskan agenda Johor Bersih dan menyeru semua pihak untuk sama-sama menggembling tenaga menjayakannya.

 

“Kita perlukan penglibatan dari semua pihak. Ia memerlukan satu gerakan massa atau besar-besaran melibatkan seluruh komuniti. Jika tidak, sia-sia sahaja program Johor Bersih ini.

 

“Johor Bersih tidak seharusnya tertumpu di bandar sahaja tetapi perlu diluaskan sehingga seluruh pelusuk negeri Johor termasuk kampung-kampung.

 

”Kita perlu gerakkan program ini ke pantai-pantai, sungai-sungai dan kampung-kampung. Jadi saya sarankan untuk kita sama-sama teruskan agenda ini untuk pastikan negeri Johor ini benar-benar bersih,” katanya semasa berucap merasmikan Program Gotong Royong Johor Bersih Perdana hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, selepas 11 bulan Johor Bersih dilancarkan, sambutan terhadap kempen tersebut amat menggalakkan.

 

“Ada perubahan dari segi kesedaran masyarakat terhadap kempen ini. Di peringkat PBT, kadar kompaun agak tinggi dalam tempoh empat bulan pertama namun lama-kelamaan ia semakin berkurangan,” katanya.

 

Turut sama menjayakan program, barisan EXCO Kerajaan Johor; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Salehudin Hassan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abdul Rahman.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor