KERAJAAN JOHOR ZAHIR PENGHARGAAN PENGORBANAN PETUGAS BSI, KSAB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan penghargaan atas pengorbanan petugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor merakamkan penghargaan atas pengorbanan petugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

Penghargaan itu dizahirkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan kelancaran aliran trafik di kedua-dua pintu sempadan negara di negeri ini.

 

Agensi dan jabatan tersebut adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Onn Hafiz berkata, petugas Tambak Johor dan Linkedua bekerja keras tanpa mengira masa selain mencari penyelesaian bagi memastikan isu yang membelenggu sejak sekian lama dapat diatasi.

 

“Mereka ini jugalah yang memungkinkan segala apa yang dibincang dan digagaskan, setiap kali saya dan rakan-rakan turun ke lapangan bagi mencari penyelesaian, dapat dilaksanakan dengan tuntas dan berkesan.

 

“Saya percaya segala langkah penyelesaian yang telah diambil dan dilaksanakan bukanlah hanya ibarat hangat-hangat tahi ayam tetapi akan terus dan terus dilaksana,” katanya ketika Mesyuarat Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini, pada Khamis.

 

Onn Hafiz turut menegaskan Kerajaan Johor akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada petugas di kedua-dua CIQ itu bagi memastikan masalah yang menghimpit 300,000 Bangsa Johor dapat ditangani dengan segera.

 

“Percayalah, dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab demi rakyat dan demi negara, anda tidak akan pernah bersendirian. Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dan dokongan agar usaha anda tidak akan pernah sia-sia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor