INDUSTRI PERLU MODAL INSAN MAHIR, MESRA TEKNOLOGI


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh hadir meninjau pertandingan ‘International Makerobot Challenge’ sempena Forum Bandar Pintar Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat Johor Bahru. | Foto MDJ, Imran Razib.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyokong penuh program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan pelajar sekolah.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, Johor berpotensi besar dalam bidang teknologi terkini.

 

“Industri hari ini sangat memerlukan modal insan yang mahir dan mesra akan teknologi terkini,” kata beliau pada Rabu.

 

Terdahulu, beliau hadir pertandingan International Makerobot Challenge sempena Forum Bandar Pintar Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat Johor Bahru.

 

Norlizah berkata, sebanyak 73 pasukan termasuk tiga pasukan dari Indonesia menyertai International Makerobot Challenge 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

“Terima kasih diucapkan kepada Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNJ, Musa Atan; Guru Besar SK FELDA Lok Heng Selatan, Ramli Osman dan GPK Kokurikulum SK FELDA Lok Heng Selatan, Asrul Hisham Jasiman kerana telah menyambut saya dan memberi penerangan yang cukup baik sepanjang program berlangsung,” katanya.

 

Dalam kunjungan ke Forum Bandar Pintar Johor 2023, beliau berkesempatan melawat pameran antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Cyberport, Telekom Malaysia Berhad (TM), Jabatan Penerangan Negeri Johor (JaPen) dan syarikat telekomunikasi, Maxis.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor